M Update, 19/06/2019 – Pasukan penyiasat antarabangsa dijangka mengumumkan pertuduhan ke atas beberapa suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) di timur Ukraine lima tahun lalu yang meragut nyawa semua 298 penumpang dan anak kapal.
Siasatan diketuai kerajaan Belanda itu akan memaklumkan perkara itu kepada keluarga mangsa terlebih dahulu sebelum mengadakan sidang media untuk mendedahkan perkembangan siasatan jenayah pesawat Boeing 777 milik MAS itu.
Keputusan berkenaan dicapai hampir setahun selepas penyiasat mendedahkan penemuan bahawa peluru berpandu BUK yang digunakan bagi menembak pesawat terbabit berasal dari briged tentera Russia berpangkalan di barat daya Kursk.
Pesawat yang sedang dalam penerbangan antara Amsterdam-Kuala Lumpur itu ditembak jatuh ketika berada di ruang udara wilayah timur Ukraine yang dikuasai pemisah pro-Russia pada 17 Julai 2014.
Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal dalam satu kenyataan kepada agensi berita Interfax-Ukraine berkata, empat individu akan dinamakan sebagai suspek, termasuk seorang pegawai kanan tentera Russia.
“Semua nama itu akan diumumkan. Tuduhan akan diberi,” kata Zerkal sambil menambah, mahkamah Belanda akan mula bekerja untuk menilai kes itu.
Beliau menambah, pemindahan senjata seperti sistem peluru berpandu anti pesawat BUK adalah mustahil tanpa kebenaran pemerintah tentera tertinggi Russia dan ia turut membabitkan individu, selain suspek yang didakwa. – Agensi