M Update, 25/06/2019 – Seorang warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Lelaki Pokok’ disebabkan ketumbuhan pada tubuhnya mahu kedua-dua tangannya dipotong kerana tidak mampu lagi menanggung kesakitan.
Abul Bajandar, 28, sudah menjalani 25 pembedahan sejak 2016 untuk membuang ketumbuhan pada tangan dan kakinya disebabkan sindrom jarang berlaku.
Doktor percaya mereka berjaya menyembuhkan penyakit itu tetapi Bajandar melarikan diri dari klinik di Dhaka Mei tahun lalu apabila ia berulang.
Bapa kepada seorang anak itu dimasukkan semula ke hospital pada Januari lalu kerana keadaan yang semakin teruk, dengan beberapa ketumbuhan mencecah beberapa sentimeter panjang.
“Saya tidak mampu menanggung kesakitan lagi. Saya tidak boleh tidur malam.
“Saya meminta doktor memotong tangan saya supaya saya berasa lega,” katanya.
Ibunya, Amina Bibi, menyokong rayuan itu.
“Sekurang-kurangnya dia tak berasa sakit lagi. Ini sudah keterlaluan,” katanya.
Bajander menderita penyakit epidermodysplasia verruciformis, keadaan genetik jarang berlaku juga dikenali sebagai ‘sindrom manusia pokok’.
Bajandar berkata, beliau mahu ke luar negara untuk rawatan lebih baik, tetapi tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan.
Sementara itu, ketua pakar bedah plastik di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Samanta Lal Sen, berkata panel tujuh doktor akan membincangkan keadaan Bajandar hari ini. — AFP