M Update, 9/7/2019 – Penerbangan pulang Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dari United Kingdom yang sepatutnya dijadual tiba di negara ini petang ini terpaksa dibatalkan susulan masalah kesihatan dihadapinya.
Ibu saudara bayi, Anis Sofiah Ahmad Razak, 22, berkata, penerbangan yang sepatutnya dijadualkan 9.30 malam tadi (waktu United Kingdom) dibatalkan 11.45 malam tadi. Abang beritahu, doktor tidak benarkan Ainul balik lagi namun tidak dimaklumkan punca jangkitan.
“Ainul perlu mengambil ubat antibiotik semula sekurang-kurangnya seminggu dan mereka mungkin akan berada di sana (UK) selama dua minggu lagi,” katanya kepada NSTP di Melaka, hari ini.
Berdasarkan status Facebook yang dimuat naik Ahmad Safiuddin, petang semalam, dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi membuat persiapan rapi bagi memastikan Ainul sembuh dan kuat berikutan bayi sulungnya itu pernah mendapat jangkitan selepas mengharungi penerbangan panjang selama 13 jam.
Petang semalam, Ahmad Safiuddin memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap. Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.
“Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat. Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.