M Update, 29/7/2019 – Ainul Mardhiah yang ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, sejurus tiba dari London, semalam, kini berada dalam keadaan stabil.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, kepada BH Online sebentar tadi. Ainul berada keadaan stabil, doktor sedang menguruskannya setelah melalui perjalanan yang agak panjang,” katanya. Ahmad Safiuddin memaklumkan beliau belum pasti berkenaan rawatan susulan yang akan dilakukan ke atas bayinya itu kerana doktor pakar masih dalam perbincangan sesama mereka.
Sejak pulang ke tanah air kami keletihan sedikit kerana perubahan cuaca dan keadaan, selain sibuk dengan beberapa perkara untuk diselesaikan,” katanya. Ainul Mardhiah yang kini berusia 11 bulan, dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut. Dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.
Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway. Selepas pembedahan itu, Ainul Mardhiah yang awalnya memiliki berat 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London, menunjukkan perkembangan menakjubkan dan beratnya bertambah secara konsisten sehingga 3.1kg.
Semalam, Ainul Mardhiah bersama bapa dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 23, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi menaiki penerbangan Malaysia Airlines. Mereka ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia yang juga Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker; Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.