M Update, 29/7/2019 – Kerajaan menyediakan dua skim pinjaman pada kadar faedah dua peratus setahun bernilai RM550 juta bagi manfaat 15,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata skim itu adalah Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dengan jumlah dana RM500 juta dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) dengan nilai RM50 juta. Katanya, pinjaman itu bagi membantu pekebun kecil sawit yang terjejas pendapatan mereka kerana hasil kebun rendah berikutan pokok sawit tua.
Justeru, bagi membantu pekebun kecil sawit, kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Mudah bagi tanam semula dan input pertanian pada kadar faedah dua peratus setahun,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. Kok berkata, skim pinjaman itu juga membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil persendirian bagi melaksanakan penanaman semula sawit. Skim pinjaman itu juga membantu pekebun kecik sawit memperoleh input pertanian dengan penggunaan benih yang disahkan dan baka berkualiti.
Selain itu, katanya skim ini juga dapat membantu pekebun kecil meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS), seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit. Dengan jumlah peruntukan RM500 juta, skim TSPKS dijangka dapat memanfaat seramai 7,000 hingga 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar. Bagi Semenanjung, nilai pinjaman adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau pinjaman bernilai RM65,000.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, nilai pinjaman adalah RM14,000 sehektar dan had maksimum keluasan 6.5 hektar atau RM91,000. Tempoh pinjaman skim TSPKS sehingga 12 tahun termasuk tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bagi empat tahun pertama,” katanya.
Sementara itu, Kok berkata, skim IPPKS dengan dana RM50 juta pula, dijangka memberi faedah kepada 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan tanah berjumlah 20,000 hektar. Beliau berkata, nilai pinjaman IPPKS tidak melebihi RM2,500 sehektar dengan had maksimum keluasan 6.5 hektar atau RM16,250 dan tempoh pinjaman sehingga 24 bulan saja. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah agensi pelaksana dan Agrobank dilantik institusi pembiaya bagi menguruskan kedua-dua skim itu.
Pekebun kecil boleh memohon skim ini mulai 15 Ogos ini. Pelaksanaan skim ini selaras usaha kerajaan mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit di mata dunia, ” katanya