M Update, 20/09/2019 – Sekurang-kurangnya 27 pelajar madrasah maut akibat kebakaran yang tercetus dan merebak pantas ketika mereka belajar menghafaz al-Quran pada waktu tengah malam.
Daily Mail melaporkan, hanya imam madrasah berkenaan dan dua pelajar berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian awal pagi Khamis dipercayai akibat litar pintas di ibu negara Liberia itu. Sehingga semalam, polis masih mencari mayat dalam runtuhan sekolah berkenaan, kata jurucakap polis Moses Carter.
Mangsa dilaporkan sering menghafaz al-Quran pada waktu tengah malam dan penduduk setempat mengenali mereka semua sebagai budak baik serta sopan.
Ratusan orang berhimpun di luar tempat kejadian semalam dan ada antara mereka menangis atau meraung menyaksikan pekerja ambulans membawa mayat dari situ. Semua mangsa dilaporkan berusia antara 10 hingga 20 tahun.
Presiden George Weah turut melawat tempat kejadian dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa di Twitter.
Sementara itu, seorang guru, Gaylor Mulbah yang berhampiran madrasah itu berkata: “Saya keluar kerana menyangkakan bunyi bising didengar disebabkan perompak, namun alangkah terkejut apabila melihat segalanya merah disebabkan kebakaran besar.”
Mulbah yang mengajar di sekolah lain berkata, dia mahu membantu pelajar berkenaan tetapi tidak mampu menghampiri bangunan yang terbakar itu disebabkan api terlalu tinggi.
Lebih memburukkan keadaan apabila tingkap bangunan itu ditutup jeriji, katanya kepada Washington Post.
“Orang ramai bertempiaran lari dan menjerit ketakutan. Beberapa kediaman kecil di sekitar madrasah itu juga terbakar seterusnya menyukarkan anggota penyelamat sampai ke situ.
“Mereka mengambil masa hampir tiga jam untuk sampai ke madrasah berkenaan,” katanya.