M Update, 2/10/2019 – Biar pun sedih terpaksa berjauhan dengan keluarga, kumpulan pertama pegawai dan anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang berlepas ke Lubnan semalam, tetap bersemangat menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Seorang daripada mereka, Mejar Zulkifli Mat Jusoh, 36, mengakui berat terpaksa berjauhan dengan keluarga selama setahun, namun menganggap ia akan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dan menjadikan mereka lebih menghargai antara satu sama lain. Beliau juga mengakui cukup berbangga apabila dipilih menyertai Pasukan MALBATT 850-7 yang dianggotai 50 pegawai dan 165 anggota termasuk dua anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) itu.
“Dipilih menyertai misi ini satu kebanggaan bagi warga tentera. Biar pun tidak pernah terfikir akan ditempatkan di Lubnan, saya anggap ia satu pengiktirafan, lagi pun ini misi pertama saya di luar negara selepas berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira 16 tahun,” katanya.
Zulkifli berkhidmat dengan Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Desa Pahlawan, Kota Bahru, Kelantan, menyertai kumpulan pertama mengandungi 216 pegawai dan anggota yang akan bertugas di Lubnan sehingga 2 Oktober 2020. Mereka yang diketuai Kolonel Khairul Anwar Soib, menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) bagi menggantikan pasukan MALBATT 850-6 yang dijangka tiba di tanah air, hari ini.
MALBATT 850-7 dihantar ke Lubnan menerusi empat peringkat, iaitu kumpulan pertama hari semalam, diikuti kumpulan seterusnya pada 8, 15 dan 22 Oktober. Mereka akan ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin menerusi kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. Majlis penghantaran kumpulan itu di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut menyempurnakan pemakaian beret PBB dan penyerahan bendera Malaysia.
Sementara itu, Koperal Ayuni Muhamad, 29, yang berkhidmat di Bahagian Pengurusan Wisma Pertahanan, berkata beliau bersemangat untuk menabur bakti walaupun pada awalnya, perasaannya berbelah bahagi.
“Pada awalnya, perasaan memang berbelah-bahagi kerana saya ada anak perempuan yang masih kecil berusia satu tahun sembilan bulan, namun dorongan keluarga serta suami yang juga anggota tentera, menjadikan saya berkobar-kobar untuk bertugas di sana.
“Memang impian saya selama ini untuk berbakti menerusi panji PBB di luar negara,” katanya yang sudah sudah berkhidmat lebih lapan tahun bersama ATM.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya, berkata pemilihan MALBATT menyertai misi pengaman itu adalah satu pengiktirafan serta kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti ATM.
“Seluruh anggota MALBATT 850-7 perlu memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan maruah negara dan ATM di persada antarabangsa. Pembabitan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berharap anggota yang bertugas dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya serta mengekalkan semangat kerjasama supaya pasukan dapat berfungsi dengan efektif. – BH Online