M Update, 12/11/2019 – Berkuatkuasa semalam, AirAsia telah menghentikan jualan rokok bebas cukai dalam pesawat serta laman webnya, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia , Tony Fernandes.
Syarikat penerbangan itu telah melaksanakan kempen anti merokok dan vape secara menyeluruh di 120 pejabat dan stesen di seluruh Asia Pasifik manakala RedQ, ibu pejabat syarikat penerbangan itu, kini mencatatkan 100 peratus sebagai bangunan bebas daripada merokok, katanya. Bercakap pada persidangan akhbar kemudian, Fernandes berkata, jualan hasil tembakau menghasilkan pendapatan RM9 juta kepada Kumpulan AirAsia setiap tahun.
“AirAsia juga bercadang untuk menghentikan jualan produk lain seperti alkohol. Namun ia akan menjadi agak sukar. Tetapi kita tidak akan tergesa-gesa dengannya. Tiada jangka waktu ditetapkan untuk itu,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melaksanakan polisi bebas daripada penjualan produk tembakau dalam penerbangan.
Atas usaha dan kempen anti merokok yang dilaksanakan AirAsia, Kementerian Kesihatan akan memberikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Kempen Blue Ribbon kepada Fernandes di mana sijil akan disampaikan pada majlis anugerah dan pengiktirafan Kempen Blue Ribbon pada 22 Nov ini. Menurut Dr Dzulkefly, 23 peratus rakyat Malaysia merokok pada masa ini dan 20,000 kematian dilaporkan setiap tahun kerana penyakit berkaitan rokok. – BERNAMA