M Update, 26/2/2020 – Sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnin lalu.
Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali. Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 Ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.
Ia susulan keputusan mengejutkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selepas menerima surat peletakan jawatan itu.
Seri Paduka turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Dr Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama. – Bernama