Sebenarnya, kemelut atau percaturan politik nasional pada 24.2.2020 tidak memberi kejutan sangat kepada rakyat jelata. Rata-rata rakyat jelata tenang meneruskan rutin kehidupan biasa mencari sesuap nasi, sekelumit rezeki & keperluan hidup seharian.
Di kala politikus nasional gundah-gulana, rakyat memandu ke tempat kerja seperti biasa, menghantar anak ke sekolah, aktiviti di pasar hiruk-pikuk, aktiviti di shopping mall tidak terhenti, pekerja di ladang kelapa sawit sibuk menghambur baja dan menombak buah, para wanita tidak membatalkan acara zumba atau jogging di lereng bukit.
Di pusat kota Kuala Lumpur keadaan harmonis sepanjang malam 24.2.2020 hinggalah sekarang , tiada laporan di kawasan hot spot seperti Dataran Merdeka, Chow Kit, Jalan TAR, Central Market atau pun himpunan di rumah para politikus kecuali segelintir. Dataran KLCC dipenuhi rakyat menikmati keindahan cahaya dan lagu berirama dari kolam KLCC. Rakyat tidak hirau kemelut politikus.
Seolah-olah rakyat sudah lali melihat atau disuap politiking bobrok sepanjang masa. Bagi rakyat, perut perlu diisi daripada janji manis, wang perlu dicari untuk membayar bil api-air serta belanja sekolah anak. Anak muda juga tidak lagi hirau kerana wang perlu dicari untuk membayar PTPTN, kereta, kad kredit dan agenda kahwin perlu disediakan.
Pengulas politik hilang kata-kata kerana rakyat sendiri sudah menjadi pakar sebenar politik, pakar ekonomi tiada jawapan kerana angka menurun lebih kerap berbanding angka menaik, hospital Kerajaan semakin sesak, sekolah Kebangsaan semakin sesak, pasukan bolasepak nasional, hoki dan badminton merudum dan asyik tewas, stadium kosong, kedai runcit warga Acheh tumbuh bagaikan cendawan.
Kerajaan BN runtuh pada tahun 2018 dan Kerajaan PH juga bungkam pada tahun 2020. Orang bertanya siapakah Kerajaan sebenar sekarang? Jawapannya mudah, pemunya kerajaan sekarang adalah rakyat, bukankah dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat. Yang diperlukan sekarang hanyalah pentadbir dan perancang tetapi juga sudah sedia ada iaitu penjawat awam yang dedikasi. Jadi mahu apa lagi? Hendak bincang polisi?, itu pun rakyat sudah mempunyai wakil di Dewan Rakyat.
Oleh itu, para politikus perlu sedar bahawa tanpa mereka rakyat masih boleh meneruskan kehidupan dengan lebih aman. Fundemental negara ini sangat kuat, Yang Dipertuan Agong (YDPA) ada memelihara rakyat jelata tanpa mengira agama, kaum dan keturunan. YDPA memiliki angkatan tentera dan pasukan polis untuk menjaga Keselamatan dan kedaulatan wilayah negara. YDPA memiliki penjawat awam yang taat kepada kepentingan negara. Semua sudah di susun cantik oleh para pengasas negara.
Oleh sebab itulah rakyat kelihatan tidak hirau akan kemelut dan kebejatan politik. Sebab itulah rakyat tidak lagi hirau kerana kebobrokan politikus sudah tewas di tangan rakyat.
Apa yang diperlukan sekarang? Sedarilah, rakyat mahu secangkir kopi di pagi hari, bukan wayang pagi dan wayang malam. Rakyat mahu cinta yang sejati bukan cinta palsu. Selamat berfikir.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis tidak melibatkan mana-mana pihak. Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri adalah pemerhati politik, penulis dan penceramah dalam bidang pembinaan negara, keselamatan negara, patriotisme dan pendidikan nasional. Pandangan beliau boleh dibaca di NST, Malaysiakini dan Astro Awani.