M Update, 10/2/2021 – Sindiket “orang tengah” Program Rekalibrasi tumpas apabila dua lelaki termasuk seorang warga India, dalang sindiket yang menipu warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di Pulau Pinang, Ahad lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam operasi khas hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya dan Pulau Pinang selama sebulan.
Modus operandi mereka adalah dengan mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan imigresen dan berjanji membawa ke pejabat imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temu janji melalui Sistem Temujanji Online (STO),” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi khas itu bertujuan untuk mengesan dan menumpaskan sindiket yang mengatur warga asing bagi mendaftar dalam Program Rekalibrasi dengan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Sindiket itu mengenakan bayaran bagi setiap warga asing RM1,000 hingga RM1,500 seorang sebagai bayaran kepada sindiket untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temu janji melalui STO seperti ditetapkan oleh Jabatan Imigresen. Sindiket ini juga disyaki bergerak aktif di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.
Program Rekalibrasi pendatang tanpa izin diperkenalkan bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pihak industri pada ketika ini susulan pembekuan pengambilan pekerja asing baharu dalam negara bertujuan untuk menguruskan pendatang tanpa izin yang ada dalam negara sebagai pekerja asing yang sah.
Khairul Dzamiee berkata Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan program itu dan orang ramai dinasihat supaya tidak berurusan dengan orang tengah atau mendapatkan khidmat ejen bagi menyertai Program Rekalibrasi.
Kedua-dua dalang sindiket ini ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.