M Update, 25/03/2021 – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan tidak akan mengeluarkan permit umrah kepada jemaah tempatan berusia 70 tahun dan ke atas, tidak kira apa status vaksinasi Covid-19 mereka.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, warganegara dan pemastautin tetap di negara itu yang berusia antara 18 hingga 70 tahun boleh memohon permit umrah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Katanya, jemaah tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, namun pemilik permit boleh membawa ibu mereka sebagai teman.
Pengambilan vaksin Covid-19 bukanlah prasyarat mendapatkan permit umrah bagi warga tempatan.
“Untuk mendapatkan permit umrah, mereka perlu mengemukakan permohonan melalui aplikasi Eatmarna selain membuktikan status kesihatan pemohon yang bebas daripada jangkitan Covid-19 melalui laman Tawakkalna,” katanya seperti dilaporkan Saudi Gazette.
Kementerian Kesihatan sebelum ini menasihatkan mereka yang berhasrat menunaikan ibadah haji dan umrah untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Bagaimanapun, jurucakap kementerian, Dr Muhammad Al-Abdel Ali baru-baru ini berkata, syarat mengambil vaksin untuk menunaikan umrah masih dalam perbincangan.
Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan jemaah yang ingin menunaikan haji pada tahun ini wajib mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai syarat utama. – HM Online