M Update, 16/06/2022 – Negara sekali lagi bakal mencatatkan sejarah dalam sektor pengangkutan awam apabila Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang dilaksanakan pada 2014 memulakan operasinya hari ini.
Perkhidmatan MRT itu akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk pengguna.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.
Ia selepas majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 10 pagi.
MRT Laluan Putrajaya itu mempunyai sembilan stesen baharu iaitu Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Sementara tiga stesen laluan Kajang iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat serta Sungai Buloh yang beroperasi pada 2016 dan ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya baharu juga dibuka semula.
Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara selain ia turut menghubungkan laluan lain seperti perkhidmatan KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.
Di Kampung Batu, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan pertukaran ke laluan KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang.
Satu lagi alternatif ialah dengan menggunakan Bas Rapid KL No 173 untuk ke Lebuh Ampang atau menaiki bas percuma Go KL Laluan Merah Manggis.
Fasa Satu ini akan mempunyai 20 set tren yang beroperasi secara automatik dan tidak memerlukan pemandu dengan setiap set tren mempunyai empat gerabak yang boleh memuatkan seramai 1,200 penumpang.
Dalam pada itu, 13 laluan bas perantara juga akan memulakan operasi pada masa sama untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan perumahan dan komersial yang terletak di dalam kawasan berhampiran stesen seperti Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Kepong serta Bandar Baru Selayang.
Terdapat kemudahan parkir di tujuh stesen dengan jumlah tempat letak kereta lebih 2,800 petak.
Sementara itu, pembinaan untuk Fasa Dua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral sedang berjalan lancar pada tahap 98 peratus membabitkan kerja seni bina, jalan penghubung, lanskap serta pengujian dan pentauliahan.
Bagaimanapun, operasi Fasa Dua dijangka bermula pada Januari 2023 dan membolehkan tren melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Lega dapat jimatkan kos perjalanan ke tempat kerja
Pembukaan stesen baharu di bawah projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di kawasan Lembah Klang khususnya yang bekerja di Putrajaya.
Ini berikutan 12 stesen dalam laluan berkenaan merentasi kawasan berkepadatan penduduk tinggi dan terkenal dengan kesesakan lalu lintas seperti Damansara, Sungai Buloh dan Kepong.
Penduduk di kawasan itu akhirnya mempunyai akses pengangkutan awam tambahan selain daripada perkhidmatan sedia ada.
Ku Muhammad Amin Ku Khalid, 29, yang berpindah ke Cyberjaya sejak tiga bulan lalu gembira apabila mengetahui perkhidmatan awam baharu itu akan memulakan operasi sekali gus memudahkan perjalanannya ke tempat kerja.
Eksekutif bank itu berkata, dia membeli rumah pertama di kawasan berkenaan kerana harga mampu milik selain mengambil kira kemudahan awam selepas diberitahu ia akan mempunyai perkhidmatan tren ke Lembah Klang.
“Apabila diumumkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu akan memulakan operasi, ia berita gembira kerana saya dan isteri berkemungkinan akan menggunakan perkhidmatan itu sekiranya menjimatkan kos perjalanan kami berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Saya akan ambil kira harga tiket dan masa perjalanan nanti. Jika berbaloi, sudah tentu kami akan menaikinya.
“Buat masa ini saya menunggang motosikal ke tempat kerja yang mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit manakala isteri pula memandu kereta,” katanya.
Bagi Suraiya Nadzrah Ramli, 41, yang menetap di Putrajaya berkata, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku tanpa mengira masa sejak kebelakangan ini.
Katanya, perkhidmatan awam baharu itu memberi pilihan kepada orang awam sama ada yang menetap di Kuala Lumpur untuk datang bekerja di Putrajaya atau menetap di Putrajaya dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Perkhidmatan itu sudah tentu memberi kemudahan kepada penduduk sekitar kerana kami tidak perlu lagi memandu dan penat terperangkap dalam kesesakan di samping dapat kurangkan karbon dioksida (CO2). Ada kawan-kawan saya yang sudah tidak sabar lagi untuk menaiki tren itu kerana mereka bekerja jauh di Kepong,” katanya.
Sementara itu, kakitangan swasta, Azira Ishak, 25, turut menyambut baik usaha kerajaan mewujudkan pengangkutan awam yang efisien.
Dengan MRT Laluan Putrajaya itu, katanya, ia dapat memudahkan lagi urusan pengguna yang berada di luar Putrajaya.
Namun, dia berharap kerajaan dapat memastikan MRT berkenaan menepati masa dan lebih banyak tren beroperasi ketika waktu puncak. – Harian Metro