M Update, 0510/2022 – Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk dijadikan ‘scammer’ sebuah syarikat di Laos pulang ke tanah semalam.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.50 malam menaiki pesawat Thai Smile dari Vientiane, Laos ke Bangkok, Thailand dan kemudian ke KLIA.
Kepulangan mereka disambut Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, mangsa berjaya melarikan diri sejak dua minggu lalu dengan bantuan penduduk tempatan dan berlindung di sebuah rumah.
Menurutnya, kesemua mangsa menghubungi keluarga di Malaysia minta diselamatkan yang turut menghubungi MHO dan MACC bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, sindiket juga menghebahkan ‘kehilangan’ mereka di media sosial dan orang ramai yang dapat memberi maklumat akan diberikan ganjaran sebanyak RMB1juta.
“Sepanjang mereka di rumah penduduk tempatan, mereka dibantu Kedutaan Malaysia yang terletak sejauh 600 kilometer dari tempat mereka berlindung sebelum kesemua mangsa dibawa ke kedutaan.
“Pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL) juga dimaklumkan mengenai lima mangsa terbabit sebelum membantu dari aspek keselamatan bagi membolehkan mereka dibawa ke Lapangan Terbang Laos untuk pulang ke tanah air,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa berkata, mereka berada di Laos sejak Mac lalu dan dijadikan ‘scammer’ didalangi warga China.
Menurutnya, mereka ditempatkan di sebuah bangunan dan hanya menerima sekali gaji sepanjang lapan bulan serta diberikan kad untuk mendapatkan makanan di kantin.
“Saya juga dimaklumkan sekiranya sindiket berjaya menangkap kami, kami akan dijual ke Myanmar.
“Setakat ini, terdapat empat lelaki warga Malaysia ditahan di bangunan sindiket,” katanya. – Berita Harian