M Update, 22/02/2023 – Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan atau mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA, penahanan terhadap individu tanpa bicara dan tanpa ikat jamin yang didakwa melanggar hak asasi manusia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata undang-undang keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab kementerian termasuk SOSMA masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Beliau berkata SOSMA adalah undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik dan ada diperincikan dalam Jadual Pertama SOSMA 2012.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Walaupun begitu, kementerian komited menambah baik undang-undang itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara, namun ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.
“Dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap undang-undang itu, pihak kementerian mengadakan perbincangan dan bengkel dalaman untuk melihat cadangan penambahbaikan.
“Pihak berkepentingan termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, pakar akademik, komuniti dan sebagainya akan dilibatkan dalam sesi pengumpulan maklum balas terhadap cadangan penambahbaikan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan P Prabakaran (PH-Batu).
Prabakaran meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk memansuhkan atau mengkaji semula akta SOSMA iaitu penahanan terhadap individu tanpa bicara dan tanpa ikat jamin kerana ia telah melanggar hak asasi manusia.
Menjawab sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula hukuman bagi sesuatu kesalahan sama yang melalui prosiding mahkamah pada waktu sama tetapi hukuman yang dijatuhkan berjalan berasingan, Saifuddin Nasution berkata setakat ini tiada sebarang ketetapan dasar atau arahan yang diterima berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata oleh itu, tiada sebarang kajian atau hasrat untuk mengkaji semula hukuman berkenaan.
Kajian secara menyeluruh hanya akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan perlu diterajui oleh kementerian/agensi yang diberikan mandat dan kuasa berkaitan perkara ini. – Berita Harian