M Update, 15/05/2024 – Majikan diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tempoh yang diberikan sempena Bulan Pemutihan ke-15 sebelum pihaknya mengambil tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Majikan boleh mendaftar menerusi dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau hubungi careline di talian 1-300-22-8000.
“Sekiranya majikan gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan, PERKESO tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada lagi pengecualian selain tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan
dipertimbangkan kepada majikan menerusi Ops Kesan 2024 yang akan dilaksanakan Jun ini,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, Ops Kesan ke-15 bertujuan memastikan majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja mendaftarkan perusahaan dan pekerjaan mengikut peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Beliau berkata, kegagalan majikan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM5,000 serta pendakwaan mengikut kesalahan yang dilakukan.
“Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar kerana gagal mendaftar dan membayar caruman PERKESO.
“Majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.