M Update, 15/01/2025 – Kementerian Kesihatan tidak berhasrat menarik balik larangan merokok di pejabat yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lepas, kata menteri berkaitan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, semua akta dan peraturan berkaitan termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan terus dikuatkuasakan seperti yang telah ditetapkan.
Larangan merokok di pejabat merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kesihatan awam sambil menegaskan bahawa peraturan itu telah dirancang dengan rapi bagi memastikan persekitaran kerja bebas asap rokok demi kesejahteraan rakyat.
Sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk premis dobi dan bangunan tempat kerja yang dimasukkan dalam senarai kawasan larangan di bawah Akta 852 pada 1 Oktober lepas.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai peguam Mohamed Haniff Khatri, yang sebelum ini gagal mencabar larangan tersebut, sekali lagi memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan itu.
Dzulkefly berkata, kementerian bersedia untuk menghadapi cabaran undang-undang yang dikemukakan Mohamed Haniff.