Input your search keywords and press Enter.

MEMULIAKAN PARA SAHABAT RADHIALLAHU ANHUM AJMAIN

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya menghayati akhlak mulia para sahabat Rasulullah SAW dari sudut ketaatan dan kepatuhan untuk menegakkan syiar Islam. Sesungguhnya para sahabat telah melakukan segala pengorbanan dan perbuatan yang terbaik ketika membantu Rasulullah SAW menegakkan agama Allah SWT.

Siapa yang layak digelar para Sahabat ?

Sahabat Rasulullah SAW ialah mereka yang hidup sezaman, dapat bertemu atau bersemuka, mendengar suara, mengenali Baginda Rasulullah SAW, beriman dan menjadi rakan seperjuangan Rasulullah SAW walaupun seketika.

Selain itu, para sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi paling utama dan terbaik kerana mereka berkesempatan mengambil ilmu secara langsung, berdakwah dan berjihad bersama Rasulullah SAW.

Malah, para sahabat sentiasa siap sedia untuk melakukan apa sahaja tindakan yang akan diminta oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kepentingan Islam. Sifat-sifat mulia ini telah mendapat pujian daripada Allah SWT hinggakan mereka dijamin sebagai ahli syurga.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat ke-100:

“Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Empat sahabat Rasulullah SAW yang boleh dicontohi oleh umat Islam adalah seperti berikut:

1. Saidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu berkata, “Sekiranya aku di jalan yang betul, berilah bantuan, sekiranya aku menyimpang, tegurlah aku!.”

2. Manakala Saidina Umar al-Khattab Radhiallahu Anhu berkata: “Kitab suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan mengikuti jejak langkah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar Radhiallahu Anhu.”

3. Selain itu, Saidina Uthman bin Affan Radhiallahu Anhu juga menyatakan: “Di akhirat, seksaan pedih bagi mereka yang mengingkari Allah dan keampunan serta keredaan dari Allah bagi mereka yang mentaati perintah Allah.”

4. Dan akhir sekali Saidina Ali Karramallahu Wajhah menyatakan: “Seseorang Islam yang sejati seharusnyalah merupakan seorang Islam yang menggunakan lidah dan anggotanya untuk menegakkan kebenaran.”

Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlulah mencontohi perjuangan, pengorbanan, dakwah dan jihad yang telah dipelopori oleh para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Leave a Reply