M Update, 3/12/2020 – Orang ramai yang menggunakan aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana data peribadi mereka dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aplikasi MySejahtera juga menepati standard piawaian antarabangsa dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data peribadi pengguna.
“Data MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bagi saya, tidak perlu bimbang menggunakannya (MySejahtera) kerana kerajaan mengawal dan memastikan data peribadi itu dilindungi,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa data MySejahtera tersebut mudah diakses.
Ditanya mengenai saranan membenarkan perpustakaan awam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beroperasi, Ismail Sabri berkata perkhidmatan kemudahan awam itu tersenarai sebagai aktiviti dalam bangunan yang tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan saranan membuka kemudahan awam khusus bagi kegunaan pelajar sebagai persedian peperiksaan dan akses internet akan dibincangkan bersama kementerian yang terlibat serta KKM.
“Perpustakaan awam ini melibatkan banyak kementerian juga, perkara ini akan saya bawa (dalam mesyuarat) dan dibincangkan bersama kementerian terlibat, MKN dan semestinya berdasarkan nasihat KKM juga,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihati rakyat agar tidak mengambil kesempatan atas kebenaran untuk merentas negeri.
Katanya, tidak menepati syarat dan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk merentas negeri atau daerah adalah kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang perlaksanaan sekatan jalan raya (SJR) sejak PKP dilaksanakan Mac lepas.