M Update, 02/09/2024 – Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 di Dataran Putrajaya Sabtu lalu disifatkan sebagai suatu penganjuran yang luar biasa bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, acara yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan semangat yang mengesankan seluruh jiwa rakyat.
“Kita bersyukur kerana sambutan kemerdekaan 2024 ini begitu menyemarakkan semangat rakyat dan saya perhatikan sambutan itu hebat dan luar biasa di seluruh negara.
Anwar berkata, acara Hari Kebangsaan bukan sahaja meriah di peringkat tempatan, malah sambutannya amat luar biasa di negara lain seperti Perancis dan Sepanyol.
“Jadi saudara kita bersyukur kerana negara aman, stabil dan semangat rakyat itu kian menyamarak sekarang, ia tidak malap dan lembap.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua, (terutama) dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tetapi saya tahu semua jabatan terutama Jabatan Perdana Menteri yang sangat terkait dengan beberapa acara utama.
“(Terima kasih juga kepada) anak-anak sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertunjukan daripada angkatan pertahanan kita terutama udara sangat menakjubkan,” katanya.
Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.