Input your search keywords and press Enter.

Pembunuhan Bersiri Wanita Asing Gemparkan Cyprus

M Update, 13/05/2019 – Pembunuhan tujuh wanita dan remaja perempuan asing dengan sebahagian daripada mayat mangsa dibuang di tasik dicemari bahan toksik menimbulkan ketakutan kepada rakyat negara itu serta tuduhan perkauman ke atas polis.

Sejak pertengahan bulan lalu, media di negara kepulauan Mediterranean itu menyalahkan pihak berkuasa atas kegagalan menangani pembunuhan berkenaan.

Pakar jenayah dan profesor emeritus di Universiti Cyprus, Andreas Kapardis, berkata pembunuhan bersiri itu adalah yang pertama seumpamanya sejak kepulauan berkenaan meraih kemerdekaan pada 1960.

“Untuk rakyat Cyprus, pembunuhan bersiri seperti ini hampir tidak pernah berlaku,” katanya.

Semua mangsa terdiri daripada empat rakyat Filipina, termasuk seorang ibu dan anak perempuan berusia enam tahun, seorang wanita Romania dan anak perempuan berusia lapan tahun, serta seorang wanita rakyat Nepal.

Mangsa terlebih dahulu dilaporkan hilang namun polis gagal membuat pemeriksaan susulan, sekali gus membolehkan pembunuh melakukan jenayah itu selama hampir tiga tahun.

“Lebih mendalam siasatan dilakukan, semakin jelas bahawa polis tidak meneruskan pencarian kerana mangsa adalah pendatang asing.

“Pembunuhan itu mencerminkan banyak kelemahan kita, iaitu cara menangani wanita, pendatang asing dan ketiadaan perhatian pihak polis,” kata Maria Mappouridou yang menganjurkan tunjuk perasaan membantah cara pihak berkuasa menangani kes terbabit.

Penemuan lima mayat dalam tempoh beberapa minggu menggemparkan pulau pelancongan popular itu yang selama ini terkenal dengan ketenteraman dan kestabilan politik.

Susulan penemuan itu, menteri kehakiman dipaksa meletak jawatan dan Presiden Nicos Anastasiades bertindak memecat ketua polis. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *