M Update, 20/06/2019 – Tentera Pengawal Revolusi Iran menembak jatuh ‘dron pengintip’ Amerika Syarikat yang memasuki wilayahnya selepas ia menceroboh ruang udara Iran, lapor televisyen tempatan.
“Dron pemantau Global Hawk buatan Amerika Syarikat (AS) itu ditembak jatuh oleh tentera udara di wilayah pantai selatan Hormozgan,” kata pegawai pengawal tentera seperti dilaporkan Press TV.
Bagaimanapun, stesen televisyen tempatan itu tidak menyiarkan gambar dron terbabit.
Kejadian itu berlaku ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat kian memuncak.
Amerika Syarikat menuduh Iran menjadi dalang kepada beberapa siri serangan membabitkan tangki minyak di kawasan perairan Teluk.
Tehran menafikan pembabitannya, sebaliknya menuduh Washington mungkin menjadi perancang sebenar kepada serangan, menggunakan operasi itu sebagai alasan untuk menentang Iran.
Hormozgan bersempadan dengan Selat Hormuz, lokasi kejadian tangki minyak diserang.
Hubungan antara Tehran dan Washington agak tegang sejak AS menghentikan perjanjian nuklear berbagai pihak pada 2015 dan mengenakan sekatan terhadap Iran. – AFP