M Update, 02/07/2019 – Polis Britain berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki, dipercayai penumpang yang jatuh dari pesawat Kenya Airways, sebelum ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.
Menurut Polis Metropolitan London, pihaknya menerima panggilan pada Ahad lalu, selepas satu mayat ditemui dipercayai ‘penumpang gelap’ yang menaiki sebuah pesawat, di taman sebuah kediaman di Clapham, barat daya London.
“Pegawai kami sedang berusaha mengesan identiti lelaki berkenaan, yang dipercayai terjatuh dari bahagian gear pendaratan sebuah pesawat.
“Kematian ini tidak dianggap mencurigakan. Namun, siasatan sedang dijalankan bagi mendapatkan gambaran penuh kejadian itu,” kata polis dalam satu kenyataan.
Katanya, satu bedah siasatan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Menurut polis, sebuah beg, bekalan air dan makanan turut ditemui di bahagian gear pendaratan, sebaik sahaja pesawat terbabit mendarat di Heathrow.
“Pihak polis akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, kemiskinan dan keadaan sosial yang membimbangkan di beberapa negara Afrika, menyebabkan ramai rakyatnya cuba masuk ke Eropah dan Amerika Syarikat, dengan bersembunyi di dalam kapal terbang.
Pada 2016, satu mayat ditemui di bahagian peralatan pendaratan pesawat Arik Air dari Lagos, Nigeria ke New York, Amerika Syarikat dan pada tahun sama, satu lagi mayat ditemui dalam pesawat yang terbang dari Lagos ke Johannesburg, Afrika Selatan.
Bagaimanapun, seorang remaja ditemui selamat selepas bersembunyi selama 12 jam dalam bahagian roda sebuah pesawat dari Lagos ke London pada 2017. – AFP