M Update, 21/08/2019 – Kerajaan Indonesia digesa menggubal undang-undang untuk menamatkan amalan perkahwinan kanak-kanak yang didakwa menyebabkan ribuan remaja perempuan terperangkap dalam ikatan umpama “neraka”, kata seorang peguam semalam.
Kemiskinan dan tradisi menyebabkan keluarga di Indonesia mengahwinkan anak mereka dan menurut UNICEF, seorang daripada empat remaja perempuan berkahwin sebelum berusia 16 tahun.
Secara purata, lebih 3,500 remaja perempuan Indonesia berkahwin setiap hari dan dalam beberapa kes mahkamah agama membenarkan kanak-kanak perempuan berusia bawah 16 tahun berkahwin.
Pada tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk mengubah had umur minimum yang dibenarkan untuk remaja perempuan berkahwin yang pada waktu ini ditetapkan pada 16 tahun.
Mahkamah tidak menetapkan kenaikan umur dan memberi tempoh tiga tahun untuk anggota parlimen memutuskan had umur yang sepatutnya.
Bagaimanapun, seorang anggota parlimen dari parti pemerintah, Eva Kusuma Sundari berkata, sehingga kini tiada kemajuan mengenai isu itu.
“Kenapa terdapat kurang maklum balas mengenai isu perkahwinan kanak-kanak? Seperti kita tidak peduli masalah itu,” katanya ketika dihubungi Yayasan Thomson Reuters melalui telefon dari Jakarta.
Eva mahu umum minimum perkahwinan ditetapkan segera pada 18 tahun dan cadangan itu mendapat sokongan 20 anggota Parlimen daripada pelbagai parti politik.
“Kehidupan adalah seperti neraka apabila seorang kanak-kanak berkahwin dan mempunyai anak. Mereka kehilangan kebebasan, hak untuk belajar dan masa depan,” kata anggota Parlimen dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan itu.