Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Pelabur Malaysia Dihormati Kerana Kepakaran Dan Mesra

M Update, 27/8/2019 – Komuniti pelabur Malaysia di luar negara perlu mengekalkan status mereka sebagai ahli perniagaan yang dihormati, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana pelabur dan ahli perniagaan Malaysia dikenali atas kemampuan menyediakan kepakaran serta mengamalkan sikap mesra, memahami keperluan sosiobudaya dan perundangan sesebuah negara. Dalam mengekalkan status ‘dihormati’ itu, Dr Mahathir berkata, mereka hendaklah menjadi pelabur dan ahli perniagaan yang bersih tanpa amalan rasuah.

“Rakyat Malaysia kini ada di serata dunia, malah di negara seperti Brazil dan Afrika ada orang Malaysia, mereka menjalankan perniagaan, menyediakan kepakaran dan menjadi perunding serta dihormati.

“Kita mahu rakyat Malaysia (di luar negara) terus dihormati, satu masalah bila kita menjalankan perniagaan di luar negara tentulah amalan rasuah, tolong hindari perkara ini, orang Malaysia mesti menawarkan perkhidmatan yang baik dan mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan komuniti pelabur dan ahli perniagaan Malaysia di Vietnam sempena lawatan rasmi ke negara sosialis itu, hari ini. Perdana Menteri berkata, beliau gembira kerana ahli perniagaan Vietnam sentiasa mampu menangani situasi dan cabaran di luar negara, terutama menghormati aspek perundangan serta belajar budaya dan bahasa di negara terbabit.

“Di Vietnam ini juga ahli perniagaan Malaysia melakukan dengan baik… anda (pelabur Malaysia) boleh memujuk pelabur di negara terbabit untuk datang melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar pelabur Malaysia di Vietnam turut mempunyai perniagaan di Malaysia dan ini menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara serta rantau ini. Dengan kepadatan lebih 90 juta penduduk, Vietnam adalah antara rakan dagang penting Malaysia. Ketika ini, terdapat 27 syarikat Malaysia melabur dan beroperasi di Vietnam, khususnya dalam sektor perbankan dan petroleum.

Leave a Reply