M Update, 2/6/2020 – Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang akan mengenakan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, kini dalam proses untuk dimuktamadkan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pindaan itu membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45, dengan mengenakan hukuman lebih berat serta mengetatkan paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah, nafas dan air kencing.
Tegasnya, kementerian juga akan memberi fokus untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai peri penting pemandu bertanggungjawab, yang memerlukan peranan semua pihak untuk mendidik masyarakat sejak kecil mengenai keselamatan jalan rayat.
“Pindaan kepada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333 dalam proses untuk dimuktamadkan, sebelum dibentang kepada Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan.
“Saya ingin menegaskan isu ini amat serius bagi Kementerian Pengangkutan. Apa yang saya boleh katakan, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.
Ka Siong memaklumkan, pihaknya mengadakan mesyuarat khas bersama agensi kementerian itu semalam, bagi membincangkan secara terperinci mengenai cadangan pindaan Akta 333 membabitkan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya. Ka Siong turut mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk menjadi pemandu bertanggungjawab dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara berbahaya.
“Janganlah menggadaikan keselamatan dan nyawa sendiri, keluarga serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Insiden kemalangan membabitkan orang awam dan anggota polis yang cedera serta maut akibat dilanggar pemandu mabuk semakin meningkat sejak kebelakangan ini, memaksa kerajaan meminda Akta 333 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.
Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan. – BH Online