Input your search keywords and press Enter.

APMM Pulau Pinang Tingkat Rondaan Di Sekitar Perairan Negara

– Foto Hiasan –

M Update, 03/02/2021 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang meningkatkan kawalan di sekitar perairan negara bagi memastikan tiada pencerobohan membabitkan pendatang asing terutama, kemasukan pelarian etnik Rohingya ke negeri itu.

Pengarahnya Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan perairan negara dalam memastikan tidak berlaku pencerobohan terutama di kawasan panas iaitu perairan berhampiran Teluk Kumbar, dekat sini.

“Sebenarnya, APMM menjalankan rondaan termasuk di sempadan perairan antarabangsa 24 jam sehari dengan menggunakan aset-aset seperti bot, kapal serta helikopter bagi memastikan tiada pencerobohan serta jenayah rentas sempadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan operasi di perairan Pulau Pinang, malam tadi.

Katanya, kawasan berhampiran Teluk Kumbar yang merupakan lokasi panas bagi pendaratan warga asing terutama etnik Rohingya, kerana terdapat perkampungan mereka di situ dan pihak APMM sememangnya menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di situ setiap hari.

Menurut beliau, modus operandi etnik Rohingya menyeludup masuk ke kawasan perairan Teluk Kumbar di negeri ini ialah dengan berpindah dari kawasan perairan antarabangsa ke bot nelayan dalam jumlah yang lebih kecil.

Abdul Razak berkata siasatan pihaknya juga mendapati terdapat segelintir nelayan menerima upah untuk membawa masuk warga asing ke negeri ini dan terus ke perkampungan etnik Rohingya di Teluk Kumbar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Selain Bukit Malut, di Langkawi, Teluk Kumbar juga merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan etnik Rohingya untuk mendarat di negeri ini kerana keluarga mereka tinggal di sini dan mempunyai pekerjaan.

“Sebab itu, APMM sentiasa menjalankan pemeriksaan di setiap bot nelayan bagi memastikan mereka tidak membawa warga asing untuk masuk ke sini atau barangan seludup seperti rokok dan arak dari negara jiran,” katanya menambah kedudukan strategik perairan Pulau Pinang dengan sempadan negara jiran iaitu hanya kira-kira 90 batu, sering menjadi destinasi pilihan warga asing menyeludup masuk ke negara ini.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga meningkatkan lagi rondaan penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap bot dan kapal dagang yang merangkumi beberapa kawasan pulau terutama selepas terdapat pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari kem perlindungan sementara di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia.

“Sepanjang operasi APMM sejak pelaksanaan PKP, kami belum lagi menemui bot nelayan tempatan melanggar PKP malah bot (memancing) juga tidak membawa pemancing kerana tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini (PKP),” katanya.