Seorang anggota polis nyaris maut selepas dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, di Sik, Kedah semalam. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.
Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali, dibantu lima pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Huluc, ditugaskan menyertai operasi itu.
Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah, mangsa merupakan anggota polis dari PGA Batalion 18 berusia 38 tahun. Beliau dipercayai dipatuk ular ketika menjalankan operasi tugas dalam hutan berkenaan.
Mangsa tidak dapat dibawa turun oleh rakan-rakan disebabkan faktor muka bumi yang bercerun serta berbukit. Keadaan itu menyukarkan mangsa untuk dibawa turun, membuatkan mereka memerlukan bantuan anggota bomba.
Mangsa berada dalam keadaan stabil dan kemudiannya selamat untuk dibawa turun.Anggota polis itu dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera EMRS BBP Sik bagi mendapatkan rawatan lanjut.