M Update, 17/02/2022 – Lebih 1,600 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 179 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat musnah dalam kebakaran, semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 4.26 petang itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS).
“Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 400 kaki sumber air dari jentera dan pili bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.43 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.17 malam,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan berkata susulan kejadian ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Bencana Kebakaran telah diaktifkan di Dewan Tun Mustapha, Kudat.
“Dianggarkan 200 keluarga dengan lebih 1,600 mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA