M Update, 27/6/2019 – Kerajaan berhasrat melaksanakan konsep ladang estet disertai petani dan pekebun kecil dalam usaha meningkatkan hasil serta pendapatan penduduk luar bandar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, melalui konsep itu, sawah, kebun dan ladang kecil milik pekebun kecil serta petani dapat dicantumkan untuk diuruskan secara estet dalam skala besar. Beliau berkata, setiap kawasan dicantum akan diusahakan dengan pertanian campuran berbanding kaedah konvensional yang hanya menumpukan satu tanaman atau komoditi.
“Kita yakin kalau (kebun dan ladang dimiliki petani serta pekebun kecil) diuruskan secara ladang besar, mereka akan mendapat keuntungan yang baik. Kita akan berusaha mengenal pasti kawasan boleh dicantum dan diurus secara estet. Kawasan-kawasan ini sebenarnya lebih luas daripada ladang estet getah (dimiliki syarikat perladangan utama) tetapi estet itu mengeluarkan hasil lebih banyak.
Jadi, kita kena menjadikan kawasan itu untuk dicantumkan, (kemudian) kita boleh menggunakan kaedah pertanian campuran,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada konsep pertanian estet itu akan mengambil contoh daripada FELDA, Perdana Menteri berkata, ia boleh ditambah baik. Konsep itu seharusnya mencantumkan semua tanah milik pekebun atau petani dan diurus secara profesional, bukannya pemilik hanya mengusahakan tanah milik sendiri seperti dilaksanakan di FELDA ketika ini. (Konsep) FELDA itu tersilap, kita cadang buat estet besar yang mana setiap peneroka memiliki 10 ekar (4 hektar), kalau 10,000 ekar (4,000 hektar) maknanya ada 100 peneroka.
Tetapi saya mendapati ia tidak dilakukan, peneroka urus (tanah) sendiri saja, ia tidak cekap dan apabila diurus sebagai estet kecil, itulah menyebabkan pendapatan mereka kurang,” katanya. BH Online