Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Malaysia Di Ukraine Selamat Tiba Di KLIA

Foto: NSTP/Mohd Fadli Hamzah

M Update, 02/03/2022 – Seramai tujuh warganegara Malaysia yang terdiri daripada empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv dan ahli keluarga mereka; dua ekspatriat, dan seorang pelajar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada 11 yang keluar dari Kyiv pada Sabtu lalu, hanya tujuh yang pulang, manakala dua lagi membuat keputusan berada di negara ketiga.

Beliau berkata, mereka berada satu malam di Warsaw, Poland, selepas keluar dari Ukraine. Dua tinggal berehat di Poland dan Jerman. Mereka selamat keluar dari Ukraine. Hari ini, mereka berada dengan kita, serta sudah menjalani ujian saringan dan menunggu keputusan ujian.

Selepas itu, mereka akan menjalani kuarantin selama beberapa hari seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media selepas bertemu dengan kumpulan berkenaan di KLIA.

Ismail Sabri berkata, misi membawa keluar rakyat Malaysia dan tanggungan termasuk warga asing serta seorang warga Singapura pada Sabtu lalu, satu kejayaan dan mencapai matlamat. Beliau bersyukur kerana biarpun kejadian berlaku di Ukraine agak membimbangkan, nyawa dan keselamatan rakyat negara ini menjadi keutamaan kerajaan.

“Sebab itu, kita sudah melakukan usaha terbaik untuk memastikan rakyat kita selamat. Alhamdulilah, mereka sudah selamat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai gesaan tiga duta negara Kesatuan Eropah (EU) semalam supaya Malaysia menyokong resolusi di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memulaukan Russia susulan pencerobohannya ke atas Ukraine, Perdana Menteri berkata, Kabinet menunggu perdebatan mengenainya esok.

Beliau berkata, wakil Malaysia akan terbabit dalam perdebatan itu.

“Saya sudah membuat kenyataan ketika berada di Thailand dan Cambodia. Malah, esok wakil kita akan terbabit dalam perbahasan di PBB. Kita akan mengeluarkan kenyataan selepas itu,” katanya.

Perdana Menteri ketika di Phnom Penh sebelum ini, menyatakan pendirian Malaysia iaitu mengambil pendirian berkecuali dan tidak campur tangan berhubung krisis yang berlaku di Ukraine.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, Malaysia berharap, pihak berkaitan menyelesaikan konflik yang berlaku di Ukraine. Ketika di Thailand, beliau dilaporkan berkata, Malaysia prihatin terhadap peningkatan konflik di Ukraine dan menggesa semua pihak terbabit segera mengambil langkah mengurang dan mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan. – BH