M Update, 28/3/2019 – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, akan bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya pada minggu pertama April bagi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-9.
Dalam laporannya, The Straits Times yang memetik Kementerian Luar Singapura, antara lain menyatakan Malaysia mencadangkan supaya pemukiman diadakan pada 8 dan 9 April, yang dipersetujui republik itu. Pemukiman terbaru ini sepatutnya diadakan pada November tahun lalu, namun ditangguhkan.
Dr Mahathir berada di sini pada November lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dipengerusikan oleh Singapura, yang berlangsung selama lima hari bermula 11 November. Pemukiman edisi kelapan diadakan di negara ini pada Januari 2018.
Pertemuan tahunan itu, yang diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara, adalah mekanisme penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mencari penyelesaian isu-isu berkepentingan bersamal. Malaysia dan Singapura kini dalam proses menyelesaikan beberapa isu, antaranya berkaitan ruang udara dan persempadanan maritim.
Sumber : BERNAMA