Input your search keywords and press Enter.

AKP Pertimbang Rayu Pilihan Raya Semula Di Istanbul

M Update, 10/04/2019 – Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata semalam, ia akan menuntut pilihan raya datuk bandar Istanbul yang dipertikaikan diadakan semula susulan kekalahan partinya dan penolakan tuntutan kiraan penuh.

Rayuan AKP memetik wujud penyelewengan selepas calonnya di Istanbul kalah tipis minggu lalu dalam apa yang disifatkan halangan terbesar selepas sedekad setengah berkuasa. AKP juga kalah di ibu kota ini.

Pemimpin Turki itu kelmarin mempersoalkan keputusan pilihan raya Istanbul dan memberi bayangan pemilihan semula kerana undian itu dicemari kecurian kotak undi.

Timbalan pengerusi AKP, Ali Ihsan Yavuz memberitahu media di ibu kota ini, parti itu akan menggesa pilihan raya diadakan semula.

“Kami akan mengambil laluan rayuan luar biasa. Kami mahu pilihan raya di Istanbul diadakan semula,” katanya.

Pegawai Majlis Pilihan Raya Agung, dikenali sebagai YSK akan memutuskan jika parti pemerintah itu mempunyai kes.

Yavuz menafikan laporan media di Twitter, AKP sudah memfailkan tuntutan pemilihan semula sebagai ‘tidak benar’, mengatakan parti itu sedang menimbang rayuan luar biasa beberapa hari lagi.

AKP menang majoriti undi di seluruh negara dalam pilihan raya tempatan 31 Mac lalu namun pengundi jelas menghukum parti pemerintah itu di dua bandar utama sebahagiannya kerana kelembapan ekonomi susulan krisis mata wang Turki tahun lalu. -AFP




Leave a Reply