Input your search keywords and press Enter.

Pelajar, guru ‘mengamuk’ bajet pendidikan dipotong

PENUNJUK perasaan mengadakan bantahan di Parana Federal University, Curitiba. – Foto Reuters

M Update, 31/05/2019 – Beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi beberapa jalan raya utama di seluruh Brazil, bantahan kedua dalam tempoh beberapa minggu susulan rancangan kerajaan untuk mengurangkan belanjawan pendidikan.

Kerajaan Presiden Jair Bolsonaro membangkitkan kemarahan pelajar dan guru berhubung cadangan untuk mengurangkan 30 peratus perbelanjaan untuk beberapa universiti awam pada separuh kedua tahun ini.

Penangguhan biasiswa pascasiswazah untuk pelajar dalam bidang sains dan kemanusiaan turut mengundang kemarahan pelajar.

Menurut wartawan AFP dan media tempatan, bantahan bermula di ibu negara pada sebelah pagi dan mula merebak ke seluruh negara membabitkan kira-kira 100 bandar. Dalam beberapa kes penunjuk perasaan mengawal seluruh bandar.

“Mesej utama adalah, pemotongan 30 peratus belanjawan pendidikan tidak masuk akal dan menjadikan ia mustahil bagi pendidikan tinggi di negara ini,” kata seorang guru Lina Vilela yang turut menyertai tunjuk perasaan yang kebanyakan memegang poster tertulis ‘Buku dan pensel adalah senjata kami’.

Pelajar perkhidmatan sosial, Karina Afonseca berkata, dia membantah tindakan ‘kemunduran intelektual’ Bolsonaro yang boleh memusnahkan Brazil.

“Saya berada di sini berjuang untuk golongan miskin yang berhak mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Saya bimbang generasi akan datang tidak akan mendapat peluang pendidikan seperti yang pernah saya nikmati,” kata Kaio Duarte.

Penunjuk perasaan di Rio de Janeiro, penunjuk perasaan membawa sepanduk menyifatkan Bolsonaro sebagai ‘musuh pendidikan’.

“Kami tidak boleh berlagak seolah-olah semuanya okay – ia tidak okay,” kata pelajar universiti, Isadora Duarte, 24.

Kementerian pendidikan mengeluarkan kenyataan amaran tidak membenarkan guru-guru, pelajar dan ibu bapa mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu ketika waktu persekolahan. – AFP

Leave a Reply