Input your search keywords and press Enter.

Pasar Payang Bakal Diroboh

M Update, 4/3/2019 – Sebut sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.

Namun, wajah Pasar Payang seperti itu yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.

Kesemua peniaga telah pun diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan lain, yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.

Rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah bahagi untuk berpindah, kerana pasar itu yang telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutama bagi peniaga asal di situ.

Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga sejak 1960-an berkata Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980-an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.

Pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya Melayu, yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka, dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.

Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanyalah terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.

Pada tahun 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri.

Nama Pasar Payang, yang beroperasi seawal 7 pagi hingga 6 petang itu, diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.

Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply