M Update, 12/04/2019 – Hampir empat minggu selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai di sini, komuniti Islam masih berusaha untuk mengajak orang ramai mengatasi ketakutan dan kembali beribadat pada hari Jumaat.
“Mereka masih takut. Pada kebiasaannya kami menjangkakan kira-kira 100 orang hadir tetapi kini hanya tinggal 30 orang,” kata Imam Masjid Linwood, Ibrahim Abdelhalim kepada AFP.
Masyarakat Islam semakin gempar minggu ini apabila seorang lelaki berusia 33 tahun, memakai baju-t bertulis nama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menjerit ke arah jemaah di Masjid Al Noor.
Daniel Nicholas Tuapawa yang mengaku bersalah di Mahkamah hari ini kerana berkelakuan seolah-olah mengundang keganasan berkata, dia tidak menyedari melakukannya hingga polis menunjukkan rakaman video dirinya sedang menjerit dengan mengatakan ‘semua orang Islam adalah pengganas’.
“Saya tidak percaya ini adalah saya,” katanya kepada wartawan selepas direman dengan ikat jamin sebelum dibicarakan pada 31 Julai tahun ini.
Menurut Tuapawa dia mengalami masalah kesihatan mental dan tidak memusuhi orang Islam.
“Ia hanya kerana apa yang dilaporkan di media dan ia wujud di dalam minda saya,” katanya.
Abdelhakim berkata, ramai orang Islam yang mahu kembali ke masjid mengalami masalah trauma dan ia sesuatu yang tidak sihat.
Polis New Zealand sudah mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan tahap ancaman di seluruh negara ‘masih tinggi’ selepas kejadian serangan itu, walaupun penyerang bertindak sendirian.
Penyerang, Brenton Tarrant warga Australia, pelampau kulit putih didakwa dengan 50 tuduhan membunuh dan 39 cubaan membunuh selepas melepaskan tembakan di Masjid Linwood dan Al Noor pada 15 Mac lalu. – AFP