M Update, 15/11/2019 – Sejak dilaksanakan 15 April lalu, lebih 150,000 orang direkodkan menjalani saringan kesihatan melalui Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
Menerusi jumlah itu, 60 peratus daripada mereka didapati mempunyai pelbagai penyakit memerlukan alat bantuan dan rawatan perubatan susulan.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, jumlah kehadiran orang ramai yang mendapatkan saringan dilihat amat menggalakkan berikutan tahap kesedaran semakin tinggi walaupun tidak sampai setahun skim ini dilaksanakan.
perangkaan itu adalah hasil inisiatif PeKa B40 yang membolehkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya daripada keluarga berpendapatan rendah B40 menjalani saringan kesihatan di lebih 2,000 klinik meliputi 1,529 klinik perubatan swasta umum (GP) dan 885 klinik kesihatan KKM di seluruh negara secara percuma.
PeKa B40 memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan.
Ia dibiayai sepenuhnya kerajaan dan menyediakan empat manfaat meliputi perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
Jika mereka penerima BSH dan pasangan berumur 50 tahun dan ke atas, penyertaan mereka adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.
Pada tahun hadapan, had umur penerima ditetapkan mulai 40 tahun kerana menyedari keperluan golongan ini yang semakin ramai mengalami NCD.
Bagi proses mendapatkan saringan kesihatan percuma, penerima BSH dan pasangan berusia 50 tahun dan ke atas boleh menyemak kelayakan di laman web PeKa B40.
Mereka kemudiannya perlu ke klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 dengan membawa kad pengenalan (MyKad).
Untuk menjalani saringan kesihatan, mereka tidak perlu berpuasa kerana saringan diabetes menggunakan ujian HbA1c.
“Melalui keputusan saringan, doktor akan beritahu mereka sihat atau sebaliknya, sama ada perlukan rujukan ke fasiliti KKM untuk rawatan lanjut dan sebagainya.
Setelah dirujuk ke fasiliti KKM, pegawai perubatan KKM akan membuat pemeriksaan lanjut dan sekiranya layak dapat bantuan alat perubatan atau insentif-insentif tadi, pegawai perubatan akan membuat permohonan dengan mengisi borang secara atas talian dan aturkan untuk buat pembedahan di mana kos alat perubatan atau insentif-insentif itu dibiayai ProtectHealth,
Sumber : Harian Metro