M Update, 08/01/2021 – Seorang ibu kepada lima anak sanggup berkorban, demi tugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), terutamanya ketika bencana banjir melanda negara, pada musim tengkujuh ini.
Norashikin Mat Jusoh, 47, mengakui berasa sedih kerana terpaksa ‘berpisah’ sementara dengan keluarga, namun, pengorbanan sebegitu sudah biasa baginya dan rakan-rakan, tatkala berdepan bencana itu, setiap tahun.
“Sudah dua hari saya tak bersua muka dengan suami dan anak-anak, memang agak sedih dan rindu tetapi tuntutan tugas adalah antara keutamaan saya bagi membantu serta memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.
“Alhamdulillah, keluarga memahami kerja saya dan saya berharap agar bencana kali ini pulih secepat mungkin agar dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Kuau di sini.
Norashikin yang juga sebahagian anggota Pasukan Penyelamat APM Unit Rantau Panjang berkata, anak-anaknya yang masing-masing berusia antara tujuh hingga 23 tahun dijaga suaminya di Kampung Gual Sitok, dekat sini.
“Kalau nak melepaskan rindu terhadap keluarga, saya akan menghubungi mereka melalui WhatsApp dengan panggilan video dua atau tiga kali sehari,” katanya yang telah berkhidmat dengan agensi keselamatan itu sejak 1993.
Bagi seorang anggota Sukarela Tugas Operasi APM Unit Rantau Panjang, Siti Nur Aqrima Amran, 32, pula, disebabkan terlalu sibuk menjalankan tugas operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir ke PPS, beliau langsung tidak sempat berjumpa anak-anaknya.
“Sememangnya saya merindui anak-anak tetapi disebabkan tugas sebagai anggota penyelamat, jadi terpaksalah terima. Kalau rindu dengan mereka, saya akan terus hubungi mereka atau buat panggilan video,” kata ibu kepada lima anak itu.
Beliau berkata kelima-lima anaknya itu tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Rantau Mas di sini.