M Update, 10/09/2021 – Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tugasan sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.
“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja ini semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi. Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja. Sama ada ia dapat diselesaikan sebelum pengumuman pembukaan sekolah atau tidak, namun jika tidak sempat kita akan tetap meneruskan proses itu.
Pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan paling mudah kita berpendapat pelajar ini akan diberikan suntikan vaksin di sekolah,” katanya pada sidang media, hari ini.
Radzi dalam perkongsian di laman Fcaebook hari ini, memaklumkan beliau mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk Khairy berkenaan dengan pembukaan semula sesi persekolahan. Menerusi perkongsian itu, Radzi turut memaklumkan menerusi pelan komprehesif mengenai pengoperasian sekolah akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mesyuarat itu turut dihadiri kumpulan pakar, antara lain mendapatkan pandangan untuk perhalusi demi memastikan murid dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat.
Isnin lalu, KPM bersetuju membuka semula sekolah di Labuan mulai 3 Oktober ini dengan fasa pertama membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam.
Keputusan itu dibuat selepas menilai bahawa Labuan satu-satunya wilayah yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan jangkitan COVID-19 dapat dikawal.
Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya yakin akan bekerjasama rapat dengan KPM dan terdapat beberapa kaedah model pelaksanaan vaksinasi turut dibentang semasa sesi mesyuarat berkenaan.
“Namun yang paling mudah kita fikirkan, bila mereka (pelajar) pergi ke sekolah, kita akan berikan vaksin. Kebanyakan pelajar akan menerima suntikan vaksinasi di sekolah,” katanya. – BH Online