M Update, 26/08/2022 – Dengan hanya berbaring di tanah selama 60 jam sahaja, seorang lelaki di Montenegro diisytiharkan pemenang dalam sebuah pertandingan.
Pertandingan luar biasa dinamakan Kejohanan Berbaring edisi ke-12 itu dianjurkan Kampung Brezna dengan mensyaratkan peserta tidak perlu melakukan apa-apa selain hanya baring selama yang mampu.
Zarko Pejanovic yang dikenali sebagai Knele itu menyifatkan acara itu mudah tanpa perlu melakukan sebarang aktiviti regangan badan terlebih dulu.
“Ia tidak sukar. Percayalah satu tidak perlu memanaskan badan terlebih dulu,” katanya kepada pemberita.
Pejanovic bersaing dengan sembilan peserta lain dengan berbaring di atas tanah di sebuah taman tempatan. Semua orang dibenarkan membawa barangan seperti telefon dan buku untuk mengisi masa semasa mereka berbaring di atas tanah.
Seorang demi seorang peserta bangun kecuali Pejanovic dari Zabjela dan Vuk Koljensic dari Danilovgrad.
Kedua-dua peserta mula bergurau untuk merebut kejuaraan, namun Pejanovic bertahan sehingga pesaingnya berundur dan dia menjadi juara selepas 60 jam berbaring.
Pejanovic membawa pulang wang tunai bernilai 350 euro (RM1561.17), makan tengah hari untuk dua orang di sebuah restoran, penginapan hujung minggu di perkampungan etnik Montenegro dan pengalaman berakit.
Dilaporkan, Kejohanan Berbaring dicipta oleh seorang lelaki bernama Radoje Blagojevic untuk mempersendakan stereotaip bahawa orang Montenegrin bersikap pemalas.
Bagaimanapun, media tempatan baru-baru ini melaporkan, selepas diisytiharkan sebagai pemenang pertandingan itu, Pejanovic ditahan polis kerana didakwa menyerang wartawan secara fizikal dan merosakkan ibu pejabat sebuah akhbar yang menggelarnya sebagai penipu terbesar di seluruh Montenegro. – Harian Metro