M Update, 29/11/2024 – Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTMB) khas MySawasdee dari KL Sentral – Hatyai – KL Sentral yang dijadualkan pada hari ini hingga 2 Disember ini dibatalkan.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan pembatalan perkhidmatan kereta api MySawasdee 1004 dan 1005 itu adalah berikutan situasi hujan berpanjangan di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan Hatyai yang sedang dilanda banjir.
Sehubungan itu, pemulangan tambang penuh akan diberikan melalui KTMB Mobile (KITS) dan sebarang bantuan boleh merujuk kepada kakitangan stesen bertugas atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB pada talian 03 9779 1200 atau emel kepada callcenter@ktmb.com.my.
Sebelum ini juga, KTMB memaklumkan perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir dan kejadian tanah mendap di beberapa kawasan yang turut menjejaskan operasi tren penumpang.
Berikutan itu, perkhidmatan KTM Intercity ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral-Tumpat dibatalkan mulai semalam.
Perkhidmatan lain yang turut terjejas termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 (JB Sentral–Tumpat–JB Sentral) serta Shuttle Timuran (Kuala Lipis–Gua Musang–Tumpat) akibat ditenggelami banjir.