Input your search keywords and press Enter.

KWSP Tutup Pejabat Di Selangor, Kuala Lumpur Dan Labuan

M Update, 21/10/2020 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter agensi itu di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, bermula esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan bekerja di rumah.

Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi pusat pengurusan pelanggan KWSP melalui talian 03-89226000.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, temu janji secara dalam talian (JTO) di semua pejabat dan kaunter KWSP di negeri berkenaan akan dibatalkan serta-merta.

“Ahli yang membuat janji temu di semua pejabat di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka selepas perintah kawalan tamat. Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, iaitu iAkaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) yang beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet, kaunter ejen bank berdaftar dan melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP. Justeru, ahli dan majikan disaran untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.

KWSP sedang mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri terbabit dan di seluruh negara secara amnya. Kkesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir ke pejabat dan kaunter KWSP setiap hari dari pelbagai lokasi tetap menjadi keutamaan.