Input your search keywords and press Enter.

Batal Percutian Ke Indonesia Akibat Jerebu

M Update, 19/09/2019 – Ramai pelancong asing yang menempah pakej percutian ke Indonesia dilaporkan membatalkan rancangan mereka kerana kebakaran hutan di Kalimantan dan Riau, menurut satu laporan diterbitkan tempo.co semalam.

Ketua Pusat Krisis Pelancongan Kementerian Pelancongan, Guntur Sakti memberitahu laman web itu, pelancong asing dari Malaysia dan Singapura membatalkan rancangan mengunjungi kepulauan berkenaan kerana kebakaran hutan masih berlaku.

“Sebagai contoh, ada laporan dari Riau, sekumpulan rakyat Malaysia seramai 31 orang terpaksa membatalkan kunjungan ke Indonesia,” kata Guntur semalam.

Pakej pelancongan kumpulan itu dikatakan berjumlah RM18,600. Pelancong lain dari Singapura juga dilaporkan membatalkan rancangan melawat Riau, dengan pakej berjumlah Rp 50 juta (RM14,886).

Sekumpulan 18 pemain golf Malaysia juga menangguhkan kunjungan ke kepulauan itu yang dikatakan mewakili kerugian Rp 75 juta (RM22,330).

“Dua pelancong dari Sri Lanka membatalkan rancangan meneroka Riau,” kata Guntur menambah anggaran kunjungan bernilai AS$1,400 (RM5,874).

Kerugian sehingga Rp 580 juta (RM172,599) untuk bayaran pendahuluan dan yuran pemeriksaan bunyi dialami seorang promoter konsert di Taman Pelancongan Alam Mayang Pekanbaru, Riau.

Menurut Guntur, kebakaran hutan itu juga menjurus pentadbiran serantau menutup seketika kawasan tarikan pelancong yang terjejas.

Kementerian ketika ini masih mengira kerugian dialami pengendali pelancongan di seluruh enam wilayah terjejas akibat kabut daripada kebakaran hutan.

Guntur menggalakkan pelancong yang berada di rantau itu supaya memantau kemas kini rasmi berkaitan kebakaran hutan. Beliau juga menasihatkan pelawat yang sudah merancang mengunjungi Riau memilih destinasi lain di Indonesia. -Agensi

Leave a Reply