Input your search keywords and press Enter.

Pelan Strategi Tangani Perkahwinan Bawah Umur Dilancar

M Update, 16/1/2020 – Pelan Strategi Kebangsaan dilancarkan hari ini bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program dan sudah dirangka sepanjang pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kerajaan mengenal pasti enam punca utama berlakunya perkahwinan bawah umur.

Enam punca itu adalah kemiskinan; kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif; kekurangan akses kepada pendidikan; kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun; stigma masyarakat bahawa perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah dan kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur.

Katanya, punca itu akan ditangani melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program serta aktiviti kesedaran.

“Diharapkan dengan pelan yang diadakan ini dapat menangani isu berkenaan daripada terus berlarutan dan seterusnya memberi kehidupan yang lebih baik demi masa depan kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, di kementeriannya, di sini. Yang turut hadir, Timbalannya, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program yang dirangka itu bertujuan meningkatkan kesedaran, mengubah persepsi serta stigma yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.

“Perkahwinan bawah umur sudah lama diamalkan di negara ini dan sejak mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan, usaha dilakukan bagi membangunkan pelan strategi bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di negara ini. Bagaimanapun tidak ramai menyedari kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kanak-kanak.

“Seharusnya mereka ini diberi peluang untuk merealisasikan potensi untuk masa depan yang cerah selaras dengan obligasi negara terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak,” katanya.

Antara program dalam memperkukuhkan program sokongan sosio-ekonomi dan jangkauan sedia ada ialah dengan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja (lelaki dan perempuan).

Selain itu, melalui pelan berkenaan ia turut menawarkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kemahiran kepada kanak-kanak atau belia yang tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian bagi orang Islam dan bukan Islam termasuk di bawah umur 18 tahun.

Dr Wan Azizah berkata, pelan itu akan dipantau keberkesanannya melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia yang mana keahliannya akan dipilih daripada pihak berkepentingan sesuai mengikut peranan masing-masing.

“Perancangan dan pelaksanaan sahaja tidak akan memadai, jadi jawatankuasa ini akan memantau pelaksanaan dan perkembangan program serta tindakan yang dirancang di setiap peringkat pelaksanaannya.

“Ia akan berfungsi sebagai platform untuk agensi pelaksana yang terbabit dalam melaporkan status tindakan, isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan terhadap setiap program atau tindakan yang dilaksanakan berkuat kuasa dari tempoh pelaksanaan pelan ini sehingga program dan tindakan yang dirancang dalam tempoh pelan ini yang tamat pada 2025,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata di bawah pelan itu, empat peruntukan undang-undang berkaitan perlu dipertimbangkan.

Undang-undang itu adalah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri; Seksyen 10 Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) Akta 1976; Undang-undang Adat Sabah dan Sarawak serta Hal Ehwal berhubung pentadbiran adat Orang Asli di bawah Aka Orang Asli 1994. – BH Online

Leave a Reply