_M Update, 21/07/2021 – Dengan kerajaan dijangka membuat pengumuman mengenai kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin minggu ini, timbul persoalan apakah pula langkah ‘tegas’ ke atas individu yang masih berdegil untuk tidak mahu mengambil vaksin.
Walaupun beberapa pihak mengaitkan keengganan mengambil vaksin sebagai hak asasi dan pilihan individu, bagaimanapun kemaskini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mendapati jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar setakat 18 Julai ialah seramai 19,023,202 orang.
Ini bermakna negara masih kekurangan kira-kira tujuh juta lagi pendaftar dan penerima vaksin bagi mencapai komuniti kelompok 26 juta orang.
Bagi individu yang ‘berkeras’ enggan mengambil vaksin Covid-19, pakar kesihatan mencadangkan tentang kemungkinan kelompok ini perlu berdepan dengan sekatan tertentu kerana bakal mendatangkan risiko kepada semua pihak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, kerajaan atau pihak berkuasa perlu mengemukakan sekatan tertentu contohnya larangan memasuki premis dan tempat awam.
“Pada masa hadapan, perlu ada sekatan ketat. Sebagai contoh, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan larangan kepada sesiapa yang enggan mengambil suntikan vaksin tidak boleh mengerjakan umrah dan haji.
“Selain itu, mereka juga memutuskan larangan kemasukan ke pusat beli-belah terhadap individu yang tidak menerima vaksin Covid-19 mulai 1 Ogos ini. Perkara ini wajar dilakukan untuk melindungi ramai orang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, sebuah universiti tempatan turut mengenakan tindakan tegas terhadap seorang pelajar perubatannya apabila didakwa dilarang memasuki dewan peperiksaan kerana belum dan enggan mendapatkan vaksin Covid-19.
Pelajar ini kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan menganggap ia sebagai ‘hak’ individu masing-masing namun ramai yang mempertikai tindakan tersebut kerana ia boleh memberi risiko kepada pesakit lain.
“Pihak universiti wajar menghalang dia daripada menduduki peperiksaan tersebut kerana sebagai seorang pelajar perubatan, memang perlu untuk ambil vaksin untuk melindungi diri sendiri dan pesakit. Ini adalah kes yang terpencil tapi memberi impak yang besar. Sekiranya ada kes sebegini dalam kalangan pelajar perubatan mahupun kakitangan kesihatan, ia akan menjadi sesuatu yang membimbangkan,” katanya.
Mengulas kejadian terbabit, Mohd Dzulkhairi berkata, kes tersebut adalah antara contoh tindakan yang boleh dikenakan ke atas individu yang enggan mengambil vaksin dan tindakan universiti itu untuk menghalang beliau memasuki dewan peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah wajar.
Sumber : Sinar Harian Online