M Update, 24/05/2019 – Dua pendatang yang bersembunyi di dalam tangki minyak kosong dilaporkan maut, selepas menerima rawatan di sebuah hospital di utara Serbia.
Dalam kejadian itu, empat lelaki, termasuk dua lelaki dipercayai berasal dari Afghanistan, ditemui tidak sedarkan diri akibat kepanasan di dalam tangki yang diletakkan di sebuah kawasan membasuh kereta, berhampiran bandar Novi Sad pada Selasa lalu.
Mereka dilaporkan mengalami masalah kekurangan oksigen dan strok haba.
“Lelaki pertama meninggal dunia kelmarin, manakala seorang lagi semalam,” kata jurucakap hospital kepada AFP.
Sementara dua lagi mangsa masih dalam keadaan kritikal.
Serbia yang terletak dalam laluan Balkan menjadi pilihan ratusan ribu pendatang antara 2015 hingga 2016.
Walaupun, laluan itu ditutup pada Mac 2016, masih ada segelintir pendatang yang terus menggunakan laluan itu untuk menyeberangi masuk ke Kesatuan Eropah, selain melarikan diri daripada perang dan kemiskinan yang melanda Afrika serta Asia Barat.
Manakala, ramai lagi yang terperangkap di Serbia selama beberapa bulan, kerana gagal memasuki sempadan negara anggota Kesatuan Eropah seperti Hungary dan Croatia.
Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Belgrade, lebih 3,000 pendatang berada di beberapa pusat perlindungan di Serbia.
Bagaimanapun, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, iaitu Pusat Perlindungan Pemohon Suaka percaya jumlahnya adalah lebih tinggi.
“Jumlahnya adalah antara 5,000 hingga 6,000 pendatang berada di Serbia,” kata seorang kakitangannya, Rados Djurovic kepada AFP. – AFP