Input your search keywords and press Enter.

Pasar Nelayan bebas cengkaman orang tengah

M-Update,27/3/2019, KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan pendekatan bersepadu mewujudkan Pasar Nelayan untuk memendekkan rantaian pemasaran hasil nelayan dan melepaskan golongan itu daripada cengkaman orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata program itu adalah strategi serampang dua mata yang memberi peluang kepada nelayan dan keluarga mereka memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna.

Selain itu, katanya, strategi itu adalah pendekatan menang-menang dengan nelayan bakal memperoleh margin pulangan harga lebih baik dan menguntungkan, manakala pembeli pula mendapat bekalan ikan segar pada harga berpatutan.

Beliau berkata, hingga Disember lalu, sebanyak 128 Pasar Nelayan diwujudkan di seluruh negara dengan urus niaga direkodkan pada tahun lalu berjumlah 3,874 tan metrik bernilai RM44.6 juta membabitkan seramai 532 peserta.

“Seramai 2.48 juta pengunjung mendapat manfaat daripada aktiviti jualan harian di Pasar Nelayan dan meningkatkan pendapatan nelayan sebanyak 33.6 peratus, iaitu RM2,503 sebulan berbanding RM1,873.51 sebulan bagi 2016,” katanya menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Salahuddin turut memberi jaminan kementeriannya akan menaikkan semula Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan kepada RM300 berbanding RM200 sekarang jika keadaan kewangan negara mengizinkan.Menjawab isu kadar faedah Agrobank dikatakan terlalu tinggi mencecah empat peratus yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sehingga membebankan golongan petani pula, beliau berkata, kadar faedah ditawarkan berbeza mengikut program.

“Sebagai contoh, Agrobank menawarkan faedah serendah dua peratus melalui Pembiayaan Agropreneur Muda (PAM),” katanya.

Leave a Reply