Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat agung. Pada bulan ini diwajibkan ke atas semua umat Islam supaya berpuasa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 381 yang dibaca di awal khutbah ini bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Dalam bulan Ramadhan, pelbagai ganjaran yang luar biasa diberikan kepada umat Islam yang berpuasa dan melaksanakan segala kewajipan. Malah melakukan amalan-amalan sunat juga akan memperolehi ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Hal ini dijelaskan melalui hadis nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap amalan anak Adam dilipat gandakan pahalanya. Satu kebaikan pahalanya menyamai sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza wa Jalla berfirman, kecuali puasa, kerana puasa itu adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberi pahalanya, kerana orang berpuasa telah meninggalkan syahwat dan makannya kerana-Ku.” (Riwayat Muslim).
Terdapat beberapa persediaan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadhan yang dinanti. Antaranya ialah dengan mempersiapkan kekuatan rohani, jasmani dan juga emosi serta ilmu pengetahuan untuk menghadapi ibadah puasa. Semua perkara ini sangat penting supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa dan ibadah yang lainnya dengan keikhlasan hati dan menepati syarak.
Selain itu, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan amal soleh dalam menyambut Ramadhan kerana pintu syurga dibuka seluas-luasnya untuk semua manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila telah datang awal malam bulan Ramadhan, diikatlah syaitan dan jin, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu-pintu yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu yang tertutup, lalu terdengarlah seruan; “Wahai orang yang ingin kebaikan maka lakukanlah, wahai orang yang ingin kejahatan maka kurangilah. Dan di sisi Allah terdapat senarai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, dan begitulah terjadi pada setiap malam (Ramadhan).”
(Riwayat al-Tirmizi).
Umat Islam hendaklah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan serta memohon keampunan, bukannya pesta makanan yang membawa kepada pembaziran.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (ali Imran : 133).
Sumber~JAIS