Dalam Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim kerana ia adalah cahaya, penyuluh dan penyelamat. Dengan ilmu, hamba dapat hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Tuhannya iaitu, hamba itu akan mengenali, membesarkan dan mengabdikan diri kepada Tuhannya. Ilmu dapat melahirkan insan bertakwa yang sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Ilmu adalah asas pembangunan insan, masyarakat dan negara. Ilmu mengangkat manusia di sisi Tuhannya dan mengangkat manusia menjadi mulia dalam kalangan sesama manusia.
Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujaadalah; 58 : 11)
Melalui ilmu yang benar yang diperoleh daripada individu yang berkelayakan pastinya kita akan terselamat daripada penyelewengan dan kesesatan. Dengan ilmu kita pastinya akan lebih berhati-hati terhadap ajaran yang dilihat menyalahi dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Melalui ilmu, ajaran-ajaran yang telah diwartakan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan dapat dipantau, diketahui dan dijaga agar kita tidak terjerumus dan terbabit dengannya.
Selain itu, para ilmuwan dan para alim ulama muktabar serta pihak berkuasa agama seperti Pejabat Mufti mestilah selalu dirujuk mengenai sebarang ajaran yang disangsikan. Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas dari segi kebenarannya dan mengenai batas-batas kekufurannya. InsyaAllah, melalui ilmu yang benar yang diperoleh daripada sumber-sumber muktabar pastinya kita akan terselamat daripada ajaran atau fahaman yang sesat lagi menyesatkan. Dengan ilmu, kita pastinya dapat mengesan ciri-ciri kesesatan yang wujud pada setiap ajaran yang menyeleweng dan sesat.
Namun, dalam menimba ilmu satu peringatan penting perlu diberi perhatian adalah pemilihan guru yang benar-benar berilmu dan beramal dengan ilmunya. Kesilapan memilih guru akan mengakibatkan seseorang terjerumus pada ajaran menyeleweng dan menyesatkan. Ini kerana ada guru yang bertujuan untuk menyesatkan manusia kerana faktor-faktor tertentu seperti mendapatkan kedudukan dan pengikut serta mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi. Mereka ini umpama dajal dan pastinya pengikut-pengikut kepada syaitan.
Justeru, setiap daripada kita perlulah berusaha menambahkan pengetahuan yang bermanfaat untuk kehidupan kita di dunia agar kita selamat di akhirat kelak. Sesungguhnya sebagaimana yang telah dinyatakan, ilmu itu adalah cahaya, penyuluh dan penyelamat.
SUMBER ~ Majlis Agama Islam Selangor